Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bioelektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna. Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita perolehi adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.
Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah SWT, seperti Subhanallah, Alhamdulillah dan sebagainya beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bioelektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bioelektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhannya. Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.
Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar. Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.
Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.
Oleh itu, saudara-saudaraku seIslam, ketika saintis Barat baru menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini telah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang enteng kepentingan berzikir dan mengabaikannya.
Rujukan dan ihsan: http://www.al- zuhaily.blogspot .com/ Oleh Zuhaily
Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: "Tujuh golongan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya adalah:
1. Pemerintah yang adil, 2. Pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, 3. Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, 4. Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, 5. Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!", 6. Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan 7. Orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat kebesaran dan kemuliaan Allah." (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).
Itulah ciri-ciri golongan yang berjaya memperolehi naungan Allah SWT pada waktu mereka ditimpa dalam keadaan dengan panas terik matahari yang membakar mereka yang berada hanya sejengkal di atas kepala, maka itulah jaminan mereka yang memiliki taqwa sebenar di sisi Allah SWT, adapun orang yang asalnya Islam tetapi mati dalam keadaan tidak Islam, sesungguhnya mereka telah memilih jalan yang salah dan merekalah yang menyekat diri mereka sendiri daripada mendapatkan naungan Allah SWT dan syafaat Rasulullah s.a.w.
Man kanatil akhiratu hammuhu ja’allalahu ghinahu fi qalbihi wa jama’a syamlahu wa atathud dunia wahia akhirah
Artinya: Sesiapa yg akhirat itulah perkara yg paling utama dlm kehidupanya, maka Allah jadikan kekayaannya itu berada dlm jiwanya.
Allah susun urusannya dan dunia itu datang kepadanya dlm keadaan hina. Maksudnya dunia itu hina.. dia dapat dlm keadaan dia mulia
Man kanatid dunia hammuhu ja’alallahu faqrahu baina ‘ainnaihi
Artinya: Sesiapa yg dunianya itu benda yg paling difikir olehnya, benda yg paling disusah hati Allah jadikan kefaqiran itu diantara dua matanya.
Walaupun kaya sentiasa runsing. Tentang yg itu hilang harta hilang, jawatan hilang, kedudukan hilang elaun hilang, org tak lantik kontrak tak sambung,
ja’allahu faqrahu baina ‘ainaihi. Allah jadikan kemiskinannya, kefaqirannya berada antara dua matanya.
Wa farraq jam’ahu: lalu dipecah-pecahkan urusannya tak menentu taada
pendirian, taada kehormatan diri
Wama ya’tihim minad dunia illa ma kuntiralahu: tidaklah pulak dunia itu datang kpdnya melainkan dgn kadar-kadar yg ..mana dia dapat sajalah ..dapatlah melainkan dgn keadaan yg hina.
Disampaikan oleh Dr Asri ketika menjadi Mufti Negeri Perlis.
Allah SWT dalam ayat-ayat pertama menerusi Surah alBaqarah, menegaskan bahawa kitab suci alQuran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa kepadaNya. Mereka adalah golongan yang beriman pada perkara yang ghaib, mendirikan solat lima waktu, membelanjakan sebahagian rezeki yang Allah anugerahkan kepada mereka, di samping keimanan mereka kepada kitab alQuran dan kitab-kitab sebelum daripada itu. Merekalah yang disebut Allah sebagai golongan yang beruntung dan mendapat petunjuk daripadaNya.
Inilah golongan yang akan dimasukkan dalam syurga Allah yang disediakan di dalamnya limpahan air sungai yang mengalir sebagai nikmat dan anugerah yang besar serta istana-istana yang amat luas daripada Allah SWT. Jelas sekali dalam ayat di atas, Allah SWT mengungkapkan perkataan mengenai orang-orang yang bertakwa, tidak disebut pula orang-orang beriman atau Islam, kerana tingkatan dan kedudukan orang-orang yang bertakwa itu lebih daripada yang lain. Ini bermakna, orang-orang yang bertakwa itu adalah orang-orang yang beriman, dan tidak mesti orang-orang yang beriman itu adalah bertakwa kepada Allah SWT, sebagaimana firmanNya menerusi ayat 102 surah Ali 'Imran
yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan diri kamu beragama Islam." Begitu pula orang-orang beriman adalah orang-orang Islam, tidak mesti orang-orang Islam itu beriman. Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa Allah SWT menyeru hamba-hambaNya agar menjadikan mereka golongan bertakwa, dan tidak selama-selamanya menjadi orang Islam yang tidak kenal erti agama mereka sendiri. Terdapat di kalangan yang mengaku Islam, tetapi terlibat dengan dosa-dosa besar, berapa ramai orang Islam hari ini yang terlibat dengan membunuh diri secara langsung ataupun tidak, sedangkan Allah sendiri menegaskan dalam ayat 195 Surah al-Baqarah وَأَنفِقُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّہۡلُكَةِۛ وَأَحۡسِنُوٓاْۛ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ (١٩٥) maksudnya, Dan beri nafkahlah pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu dalam kebinasaan.
Penganut ajaran sesat, gulongan yang menolak hadis Nabi saw, mat rempit, penagih dadah, penzina dan yang membuang anak, sebenarnya mereka mendedahkan diri mereka dalam kebinasaan dan bahaya, begitu juga terdapat orang Islam yang membunuh manusia kemudian meletupkannya bagi menghilangkan bahan bukti, orang-orang Islam yang memberi dan menerima rasuah, sumbang mahram, wanita-wanita muslimah yang tidak memakai tudung kepala dan menutup aurat dengan sempurna begitu juga sisters in Islam yang mengelirukan diri sendir dan orang lain. Tidakkah mereka melawan arahan Allah SWT dan pelbagai istilah lain yang mencemaskan institusi masyarakat umat Islam itu sendiri. Bolehkah mereka yang disebut di atas memasuki syurga Allah dalam keadaan diri mereka tidak berusaha untuk menjadi orang-orang yang bertakwa? Bolehkah mereka mendapatkan syafaat Nabi Muhammad s.a.w. pada hari akhirat di mana tidak ada seorang pun di kalangan manusia termasuk nabi-nabi yang boleh berbuat demikian melainkan Rasulullah s.a.w. sahaja?
Tidakkah mereka terfikir dengan hidup puluhan tahun di muka bumi ini untuk menjadi manusia terbaik di sisi Allah SWT, malah untuk terus menentang suruhan-Nya? Mengapa masih wujud di kalangan orang Islam yang terlibat dengan perbuatan dosa-dosa sedangkan mereka tahu tindakan itu merugikan akhirat mereka?
Dengan tindakan negatif itu, mereka sebenarnya tidak layak untuk bersama Nabi dalam syurga, malah pada saat dihimpunkan di padang Mahsyar pun mereka tidak berhak untuk mendapatkan naungan Allah ketika panas terik matahari sejengkal di atas kepala menyebabkan manusia seluruhnya tenggelam dalam sungai peluh yang beranika bau lagi memualkan.
Hadis Huzaifah r.a: Sayidina Umar r.a pernah bertanya aku ketika aku bersamanya. Katanya: Siapakah di antara kamu yang pernah mendengar Rasulullah s.a.w meriwayatkan tentang fitnah? Para sahabat menjawab: Kami pernah mendengarnya. Sayidina Umar bertanya: Apakah kamu bermaksud fitnah seorang lelaki bersama keluarga dan jiran tetangganya? Mereka menjawab: Ya, benar. Sayidina Umar berkata: Fitnah tersebut boleh dihapuskan oleh solat, puasa dan zakat. Tetapi, siapakah di antara kamu yang pernah mendengar Nabi s.a.w bersabda tentang fitnah yang bergelombang sebagaimana lautan bergelombang?
Huzaifah berkata: Para sahabat terdiam. Kemudian Huzaifah berkata: Aku, wahai Umar! Sayidina Umar berkata: Engkau. Lantas Sayidina Umar memuji dengan berkata ayahmu adalah milik Allah. Huzaifah berkata: Aku dengar Rasulullah s.a.w bersabda: Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam. Begitu juga mana-mana hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati tersebut terbahagi dua: Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada.
Manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan.
Kehadiran nabi-nabi di muka bumi ini, adalah dirancang secara khusus oleh Allah SWT untuk menyelamatkan seluruh bangsa manusia agar melakukan peribadatan hanya kepada-Nya dengan ajaran yang tepat seperti yang diajarkan oleh nabi-nabi Ia bertujuan agar manusia hanya menyembah Tuhan yang sebenar iaitu Allah SWT.
Peranan nabi-nabi bukanlah kecil, memandangkan tugas utama mereka adalah mengajak manusia seluruhnya untuk kembali kepada fitrah asal kejadian mereka iaitu menyembah Allah, maka ia tidak terhenti hanya setakat itu, malah mengajar manusia juga ilmu-ilmu yang berkaitan dengan tauhid kepada Allah.
Mereka (para nabi) juga terdedah kepada tribulasi yang mengancam kedudukan sebagai nabi. Walau bagaimanapun Allah SWT memelihara mereka bukan sahaja mudah ditimpa musibah yang berat-berat, malah memelihara mereka daripada sebarang unsur yang boleh menjejas nama baik serta harga diri.
Tribulasi, ujian semasa menjalankan tugas dakwah adalah perkara biasa yang mesti dilalui mereka yang bergelar 'pendakwah', ia bagi mematang dan memantapkan kesungguhan mereka ketika berdakwah.
Walau bagaimanapun mereka tetap manusia, ia berhadapan dengan jangka hayat yang telah ditetapkan oleh qada' dan qadar Allah, iaitu menghadapi ujian kematian. Hal ini juga termasuk dalam perancangan Allah kerana bagi-Nya golongan pelapis sudah disediakan.
Ia juga menandakan bahawa manusia tidak selama-lamanya bergantung kepada pihak tertentu seperti pengikut-pengikut para nabi terdahulu, begitu juga para sahabat mesti memikul tanggungjawab menyampaikan Islam sejurus selepas kewafatan baginda Rasulullah s.a.w.
Para sahabat memikul tugas menyampaikan ilmu
Setelah kewafatan baginda Rasulullah s.a.w., walaupun dianggap sebagai satu kehilangan besar dalam sejarah tamadun Islam dan manusia, ia segabai satu pemergian yang telah dirancang Allah, agar tugas yang telah disampaikan sebelum ini dapat disambung oleh generasi selepasnya iaitu para sahabat.
Dalam kesibukan mentadbir negara, para sahabat tidak lupa tanggungjawab memberi kesedaran agama kepada rakyat di bawah pemerintahan mereka. Ini jelas berlaku semasa pemerintahan khalifah pertama, Abu Bakar as-Siddiq, ia disambung oleh Sayidina Umar bin al-Khattab dan begitulah seterusnya.
Sebagai contoh, salah seorang daripada mereka, Mu'az Bin Jabal yang pernah dihantar baginda Rasulullah ke negara Yaman, pernah mengingatkan penduduk negara itu melalui satu ungkapan yang cukup masyhur: "Duduklah bersamaku dan beriman walau sesaat" daripada kehidupan kamu.
Kata-kata Mu’az meninggalkan kesan mendalam pada setiap diri penduduk Yaman, akhirnya menyebabkan mereka rasa bertanggungjawab untuk melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu pengetahuan agama, terutama ilmu akidah, fiqh, sirah, tafsir, hadis dan sebagainya yang dianggap sebagai ilmu-ilmu alat terpenting.
Ini bermakna, para sahabat telah menjalankan tugas dan peranan menyampaikan dakwah dan ilmu-ilmu Islam, hingga mereka juga terpaksa menyahut panggilan Ilahi untuk mengadap-Nya.
Maka tugas besar dan penting itu pula diambil alih oleh golongan Tabi'in yang memperlihatkan kesungguhan mereka berdakwah bagi memastikan kesinambungan ilmu-ilmu Islam dan dakwah diterima oleh generasi berikutnya.
Kegemilangan Islam terserlah pada zaman para ulama terbilang, mahu tidak mahu walaupun berdepan dengan pelbagai kerenah pemerintah dan rakyat yang semakin cenderung kepada kehidupan dunia yang berlebihan, dakwah Islam tetap diutamakan.
Pemerintah bersaing memuliakan ulama
Apabila Islam berkembang pesat dan semakin mendapat tempat di hati umat melalui pengembangan ilmu dan tamadunnya, terdapat para pemerintah dan ketua-ketua negara pada zaman silam, saling bersaing antara satu sama lain pada memuliakan para ulama, sasterawan serta cendekiawan.
Pernah disebut, bahawa suatu hari pada zaman silam, terdapat seorang pemerintah yang dikenali sebagai Khalifah Harun ar-Rasyid sering menjemput ulama ke istananya untuk menyemak sistem pemerintahannya, mereka dimuliakan dengan sebaik-baiknya oleh khalifah dan kemudiannya memberi hadiah atau sagu hati sebagai tanda ingatan.
Begitu juga sikap segelintir pemerintah yang cintakan agamanya, mereka menghantar utusan bagi mendapatkan khidmat para ulama untuk memantau sistem pemerintahan yang mereka jalankan agar selari dengan tuntutan hukum-hukum Islam.
Para utusan dibekalkan surat akuan pemerintah yang ditulisnya sendiri di atas sekeping warkah yang sangat mahal harganya untuk diserahkan kepada mereka agar bersedia untuk menerima jemputan pemerintah berkenaan.
Ia tidak lain adalah untuk menghargai sumbangan ulama dalam memartabatkan Islam sebagai agama yang benar daripada Allah SWT.
Kisah Khalifah Harun dengan guru anak-anaknya
Suatu hari Khalifah Harun menjemput seorang guru kepada anak-anaknya yang dikenali sebagai Kisaie agar datang ke rumahnya untuk menjamu selera bersama keluarganya.
Kisaie seorang guru agama yang semakin kabur penglihatannya, namun kesempatan yang terluang untuk mendapat keberkatan guru diambil oleh Khalifah Harun untuk mencucurkan air ke atas tangan guru berkenaan selepas selesai menjamu selera.
Kisaie kemudiannya menyuruh agar dibawakan kedua belah seliparnya, pada kesempatan itu, kedua-dua anak khalifah iaitu al-Amin dan al-Makmun masing-masing menerjah ke muka pintu untuk mendapatkan selipar gurunya.
Pada saat itulah terjadi perebutan di antara kedua-duanya. Melihat keadaan itu khalifah memerintahkan agar masing-masing anaknya membawa selipar tersebut sebelah sahaja, mereka berdua akur dengan arahan tersebut.
Selepas tuan guru tersebut keluar dari rumah, salah seorang para hadirin telah bertanya kepadanya: Barangkali mungkin tuan guru kenal orang yang telah mencucurkan air ke atas tangan dan meletakkan selipar di hadapan kaki tuan guru tadi.
Kisaie menjawab: Manalah aku tahu semuanya, boleh jadi yang lakukan semua itu khadam, walau apapun semoga Allah sentiasa memeliharanya.
Orang yang bertanya tadi menjelaskan, bahawa sebenarnya yang mencucurkan air ke atas tangan tuan guru adalah khalifah sendiri sementara kedua-dua anaknya yang telah membawakan kedua-dua belah selipar.
Mendengar penjelasan itu, Kisaie segera memanjatkan doa kepada Allah agar kehidupan baginda khalifah sekeluarga sentiasa diberkati dan dirahmati Allah, di samping mengangkat taraf martabat dan kedudukan mereka, baik di dunia mahu pun di akhirat.
Allah memuliakan ulama
Allah SWT menegaskan melalui firmannya dalam ayat 122 surah at-Taubah: "Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah)."
Ayat di atas menjelaskan bahawa, menuntut ilmu itu satu tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Ulama mesti belajar secara mendalam tentang urusan ilmu agama yang bertujuan supaya menyedarkan kaumnya daripada terjebak dalam melakukan perbuatan atau perkara yang bercanggah dengan nilai-nilai agama.
Jika tugas menuntut ilmu dapat dicapai dengan baik, kemudian dapat pula menyampaikannya kepada umat agar sentiasa berjaga-jaga dan waspada, tidak ada sebab mengapa mereka tidak dimuliakan Allah, itulah yang akan melonjakkan kedudukan sebenar ulama yang sebenar yang mahu dihasilkan oleh Islam.
Seorang tokoh ulama kontemporari, Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi ada menjelaskan dalam bukunya 'Rasul dan Ilmu', apabila ulama mampu menjana lima perkara berikut, pasti mereka akan dimuliakan Allah SWT, sekali gus melonjakkan mereka diri sebagai pewaris tugas nabi-nabi:
Amanah terhadap ilmu yang dipelajari.
Rasa mendalam terhadap tanggungjawab kepada agama, negara, masyarakat.
Memilki ciri kemuliaan diri (untuk menyelamatkan agama daripada penyelewengan).
Memilki ciri tawaduk yang diperlukan.
Beramal sesuai dengan tahap ilmu di dada.
Ulama yang mendapat kehinaan
Perkara ini telah disingkap Allah melalui firmanNya ayat 176 surah al-'Araf
yang bermaksud: "Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir."
Sesungguhnya Allah umpamakan ulama yang cenderung kepada kehidupan dunia yang berlebihan serta tidak menjalankan tugas menyampaikan Islam ibarat seekor anjing yang hina di sisi Allah SWT.
Kerana ayat tersebut diturunkan ke atas seorang ulama Bani Israil bernama Bal'am Bin Ba’urak, yang diamanahkan Nabi Musa untuk menyampaikan Islam kepada Firaun memandangkan keilmuannya yang cukup tinggi dibandingkan dengan orang lain pada waktu itu.
Bal’am bersetuju untuk berbuat demikian, tetapi sesampainya dia di istana Firaun, dia berpaling tadah tidak mahu menyampaikan tugasnya untuk berdakwah, malah mengikut segala telunjuk Firaun yang menjanjikan pulangan lumayan.
Maka kisah tersebut diabadikan dalam al-Quran sebagai bahan renungan kepada generasi hari ini dan akan datang, agar tidak terperangkap dengan bisik rayu syaitan yang dikutuk Allah sampai hari akhirat.