Sunday, December 28, 2008

NERAKA JUGA UTK ORANG ISLAM YG TIDAK BERIMAN & TIDAK BERTAKWA

Allah SWT dalam ayat-ayat pertama menerusi Surah alBaqarah, menegaskan bahawa kitab suci alQuran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa kepadaNya.
Mereka adalah golongan yang beriman pada perkara yang ghaib, mendirikan solat lima waktu, membelanjakan sebahagian rezeki yang Allah anugerahkan kepada mereka, di samping keimanan mereka kepada kitab alQuran dan kitab-kitab sebelum daripada itu.
Merekalah yang disebut Allah sebagai golongan yang beruntung dan mendapat petunjuk daripadaNya.

Inilah golongan yang akan dimasukkan dalam syurga Allah yang disediakan di dalamnya limpahan air sungai yang mengalir sebagai nikmat dan anugerah yang besar serta istana-istana yang amat luas daripada Allah SWT.
Jelas sekali dalam ayat di atas, Allah SWT mengungkapkan perkataan mengenai orang-orang yang bertakwa, tidak disebut pula orang-orang beriman atau Islam, kerana tingkatan dan kedudukan orang-orang yang bertakwa itu lebih daripada yang lain.
Ini bermakna, orang-orang yang bertakwa itu adalah orang-orang yang beriman, dan tidak mesti orang-orang yang beriman itu adalah bertakwa kepada Allah SWT, sebagaimana firmanNya menerusi ayat 102 surah Ali 'Imran

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ (١٠٢)

yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan diri kamu beragama Islam."
Begitu pula orang-orang beriman adalah orang-orang Islam, tidak mesti orang-orang Islam itu beriman.
Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa Allah SWT menyeru hamba-hambaNya agar menjadikan mereka golongan bertakwa, dan tidak selama-selamanya menjadi orang Islam yang tidak kenal erti agama mereka sendiri.
Terdapat di kalangan yang mengaku Islam, tetapi terlibat dengan dosa-dosa besar, berapa ramai orang Islam hari ini yang terlibat dengan membunuh diri secara langsung ataupun tidak, sedangkan Allah sendiri menegaskan dalam ayat 195 Surah al-Baqarah
وَأَنفِقُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّہۡلُكَةِ‌ۛ وَأَحۡسِنُوٓاْ‌ۛ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ (١٩٥)
maksudnya, Dan beri nafkahlah pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu dalam kebinasaan.

Penganut ajaran sesat, gulongan yang menolak hadis Nabi saw, mat rempit, penagih dadah, penzina dan yang membuang anak, sebenarnya mereka mendedahkan diri mereka dalam kebinasaan dan bahaya, begitu juga terdapat orang Islam yang membunuh manusia kemudian meletupkannya bagi menghilangkan bahan bukti, orang-orang Islam yang memberi dan menerima rasuah, sumbang mahram, wanita-wanita muslimah yang tidak memakai tudung kepala dan menutup aurat dengan sempurna begitu juga sisters in Islam yang mengelirukan diri sendir dan orang lain.
Tidakkah mereka melawan arahan Allah SWT dan pelbagai istilah lain yang mencemaskan institusi masyarakat umat Islam itu sendiri.
Bolehkah mereka yang disebut di atas memasuki syurga Allah dalam keadaan diri mereka tidak berusaha untuk menjadi orang-orang yang bertakwa?
Bolehkah mereka mendapatkan syafaat Nabi Muhammad s.a.w. pada hari akhirat di mana tidak ada seorang pun di kalangan manusia termasuk nabi-nabi yang boleh berbuat demikian melainkan Rasulullah s.a.w. sahaja?

Tidakkah mereka terfikir dengan hidup puluhan tahun di muka bumi ini untuk menjadi manusia terbaik di sisi Allah SWT, malah untuk terus menentang suruhan-Nya?
Mengapa masih wujud di kalangan orang Islam yang terlibat dengan perbuatan dosa-dosa sedangkan mereka tahu tindakan itu merugikan akhirat mereka?

Dengan tindakan negatif itu, mereka sebenarnya tidak layak untuk bersama Nabi dalam syurga, malah pada saat dihimpunkan di padang Mahsyar pun mereka tidak berhak untuk mendapatkan naungan Allah ketika panas terik matahari sejengkal di atas kepala menyebabkan manusia seluruhnya tenggelam dalam sungai peluh yang beranika bau lagi memualkan.

Rujukan : www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template